Haish, kalau minta di pilih 2 objektif tentang apa yang kita mahu dari anak 6 tahun, ini, buntu juga kan? Mungkin senang sahaja memilih, tetapi hakikatnya, mana satu pendekatan yang kita sering buat?
Ramai ibu bapa, suka anak menunjukkan hasil yang hebat. Hai, siapa tak suka kan. Hasil yang hebat itu subjektif.
Tetapi bagaimana proses itu dijayakan adalah amat penting. Sekiranya langkah ini sentiasa disantuni dengan kesabaran, ketenangan, keseronokan, anak akan rasa seronoknya beraktiviti.
Anak ini hakikatnya dalam proses belajar. Banyak yang mereka sedang terokai. Lihat sahaja lukisan di atas, jarang burung bewarna merahkan? Tetapi imaginasi seorang anak, katanya itu angry bird.
Matahari juga warna merah. Biasa warna orenkan? Tetapi ada sahaja idea mengapa ia mahu begitu.
Sambil mengecat, Ali berbual-bual, terkena pula tangan. Eh, seronoknya saya cat tangan. Saya nak lihat dia jadi apa sekejap. Meh saya cat lagi tangan.
Proses mengecat kertas tergendala. Ali mahu terokai cat tangan pula. Cuba lihat pula batang pokok itu, warna coklat. Eh cikgu, batang saya nampak warna hijaulah. Mujur cikgu ya rajin melayan soalan anak. Mengiyakan kata anak. Dan memberi tahu ada sahaja warna batang pokok yang hijau dan ada juga coklat.
Sebenarnya mereka sedang belajar cara nak jadikan warna coklat dengan warna asas. Kalau nak diikutkan mahu mudah, sudah ada warna coklat pada koleksi cat air yang lain. Tetapi Ali memang sangat suka bermain kombinasi warna. Dia teruja. Seronok sangat apabila kombinasinya berjaya jadi coklat.
Sebelum mereka mula mengecat tadi, Ali menulis di atas paper cup. Mereka sedang belajar mengira. Nombor yang ditulis, diterjemah kan kepada bilangan daun.
Mama!!! Daun saya tak muat dah ni. Sebab daun besar. Muka Ali sudah mula gusar. Daunnya yang cantik, tak muat. Rupanya cikgu cadangkan hanya guna jari sahaja untuk lukis daun tersebut. Lega hati Ali. Jadi Ali membuat daun pokok sambil menyanyi. Beliau sangat suka buat gaya santai, sambil menyanyi dan berbual.
Ibu ayah, setiap anak ada rentak dan kekuatan tersendiri. Saat ini, adalah peluang yang besar untuk kita menerokainya. Apabila kita tahu cara mana yang dominan, bantu mereka untuk melaluinya menggunakan apa yang mereka boleh.
Ia sebenarnya ujian kesabaran buat kita. Ada anak laju. Ada anak mengambil masa. Yang mengambil masa ini jangan terus kita marahi kerana merasakan dia lemah
Sebaliknya, kita fahami apa keperluan dia pada masa ini dan satuni satu-satu. Jangan semua target, kita buat dalam satu masa. Akhirnya kita pening, anak bertambah lagi pening.
Coretan setelah melihat kembali hasil kerja anak di kelas online oleh guru Ali yang sangat berdedikasi di Naluri Kreatif Taman Melawati