Siapa sangka sebuah buku boleh mengubah ekonomi sebuah pulau?
Namun itulah kisah yang berlaku di Belitung Indonesia selepas fenomena Laskar Pelangi. Sebuah cerita tentang sekumpulan murid di sekolah kampung akhirnya membawa ribuan pelancong datang melihat sendiri tempat yang pernah diceritakan dalam novel itu.
Beberapa tahun lalu kami sekeluarga berpeluang ke Belitung, dan perjalanan itu meninggalkan banyak inspirasi yang tidak kami jangka.
Belitung dahulu sebuah pulau yang agak sepi di Indonesia. Hari ini, Belitung menjadi salah satu destinasi pelancongan yang semakin dikenali ramai. Perubahan itu, kata orang tempatan, banyak bermula selepas kemunculan buku dan filem Laskar Pelangi. Hebat juga apabila sebuah cerita mampu memberi kesan kepada sebuah tempat.
Penerbangan dari Jakarta hanya sekitar 55 minit sahaja. Bagi sesiapa yang pernah membaca buku atau menonton filem Laskar Pelangi, pasti pernah mendengar nama pulau ini. Karya penulisnya, Andrea Hirata, bukan sahaja popular di Indonesia malah telah diterjemahkan ke puluhan bahasa dan memenangi pelbagai anugerah antarabangsa.
Kisah Laskar Pelangi sebenarnya diambil daripada pengalaman sebenar Andrea Hirata ketika membesar di Belitung. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana dan bersekolah di sebuah sekolah kampung yang serba kekurangan. Melalui novel ini, beliau menceritakan kisah perjuangan sekumpulan murid yang gigih menuntut ilmu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Buku ini akhirnya menjadi fenomena di Indonesia dan turut mendapat perhatian pembaca di banyak negara termasuk Malaysia. Ramai pembaca Malaysia mengenali kisah ini sama ada melalui novel, filem ataupun adaptasi lain yang pernah ditayangkan di televisyen dan pentas teater.
Sebuah Buku Yang Mengubah Belitung
Sepanjang berada di sana, driver yang membawa kami sempat bercerita tentang perubahan Belitung. Katanya dahulu pulau ini agak sunyi dan tidak ramai pelancong datang. Namun selepas Laskar Pelangi menjadi fenomena, Belitung mula dikenali ramai dan kini menjadi antara tempat menarik di Belitung Indonesia yang semakin popular dalam kalangan pelancong.
Perubahan ini memberi kesan besar kepada masyarakat setempat. Pelancongan yang berkembang membuka peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Kadang-kadang kita tidak menyangka bahawa sebuah buku mampu memberi impak yang begitu besar kepada sebuah tempat.
Inspirasi Dari Sekolah Laskar Pelangi

Salah satu tempat yang memberi kesan kepada kami ialah replika sekolah Laskar Pelangi. Sekolah ini menggambarkan keadaan sebenar sekolah kampung tempat Andrea Hirata belajar semasa kecil. Bangunannya sangat sederhana, dengan lantai berpasir dan meja belajar yang ringkas.
Kami duduk seketika di meja-meja kayu di sekolah replika tersebut. Dalam kesederhanaan itu saya terfikir sesuatu. Kadang-kadang sebuah sekolah yang serba kekurangan tetap mampu melahirkan anak-anak yang sangat cintakan ilmu.
Rahsianya mungkin bukan pada bangunan, tetapi pada guru yang memberi inspirasi. Dalam kisah Laskar Pelangi, guru itu ialah Ibu Muslimah, seorang guru yang sangat berdedikasi yang menyalakan semangat belajar kepada murid-muridnya.
Muzium Kata Andrea Hirata


Selain menikmati panorama pantai yang indah, kami juga melawat Muzium Kata Andrea Hirata, salah satu tempat menarik yang sering dikunjungi pelancong di Belitung Indonesia.
Yang menarik bagi saya ialah suasana muzium ini. Walaupun tidak besar, ia terasa hidup kerana penggunaan dekorasi dan artwork yang kreatif. Cara mereka menyusun ruang membuatkan pengunjung tertarik untuk terus meneroka setiap sudut.
Di situ saya sedar sesuatu. Ilmu yang sama, jika disampaikan dengan cara yang kreatif, boleh menjadi sangat hidup dan bermakna.
Perbualan Dengan Anak-Anak

Anak-anak juga banyak bertanya sepanjang lawatan kami. Saya mengambil peluang ini untuk menyuntik minat membaca dan menulis dalam diri mereka.
Andrea Hirata sendiri bukan datang daripada keluarga yang senang. Namun melalui penulisannya, beliau memberi impak ekonomi yang besar kepada kampung halamannya.
Ammar bertanya,
“Mama, masa writer ni tulis buku, dia dah plan ke nak ubah kampung dia jadi macam sekarang?”
Saya tersenyum dan menjawab,
“Mama rasa dia tak plan pun semua ini. Tapi bila kita buat yang terbaik, Allah boleh beri lebih daripada apa yang kita rancang.”
Bila Anak Mula Berminat Menulis
Di satu sudut muzium terdapat banyak trofi dan penghargaan yang diterima oleh Andrea Hirata. Raihan memandang trofi-trofi itu dengan penuh minat sebelum berkata bahawa dia juga mahu menulis buku suatu hari nanti.
Mendengar kata-katanya membuatkan saya rasa sangat teruja. Kadang-kadang minat anak bermula dari pengalaman kecil seperti ini. Apabila mereka melihat contoh sebenar seseorang yang berjaya melalui ilmu dan penulisan, mereka mula percaya bahawa mereka juga boleh mencuba.
Raudhah pula sibuk membaca maklumat tentang Belitung sambil berlari-lari di sekitar muzium. Pulang dari Belitung, dia terus melukis beberapa pemandangan yang diinspirasikan daripada perjalanan kami.
Tempat Menarik di Belitung Indonesia
Sepanjang perjalanan ke Belitung, kami sempat melawat beberapa tempat menarik yang menjadikan pulau ini unik.
Muzium Kata Andrea Hirata
Muzium ini menghimpunkan karya-karya Andrea Hirata dan menjadi simbol kepada kisah inspirasi Laskar Pelangi. Walaupun tidak terlalu besar, konsep dekorasi dan artwork menjadikan tempat ini sangat menarik untuk diterokai.
Replika Sekolah Laskar Pelangi
Replika sekolah ini menggambarkan suasana sebenar sekolah kampung dalam kisah Laskar Pelangi. Tempat ini sering menjadi lokasi wajib bagi pelancong yang ingin melihat sendiri latar cerita tersebut.
Island Hopping di Belitung
Aktiviti island hopping di Belitung merupakan antara pengalaman paling menyeronokkan bagi anak-anak. Dalam masa satu hari sahaja kami sempat melawat beberapa pulau kecil yang mempunyai pantai berpasir putih dan air laut yang sangat jernih.
Keindahan pantai di Belitung memang luar biasa. Tidak hairanlah ramai pelancong datang ke sini untuk menikmati pemandangan pulau granit yang unik serta air laut yang jernih.
Makanan di Belitung
Bagi pelancong dari Malaysia, makanan di Belitung agak mudah disesuaikan dengan selera. Kami jumpa satar yang hampir sama seperti satar di Terengganu. Ada juga ikan asam pedas walaupun warnanya sedikit lebih kuning.
Lontong pula dihidangkan dengan kuah putih, sedikit berbeza daripada yang biasa ditemui di Jakarta. Yang penting, makanan halal sangat mudah didapati dan seafood di sini juga lebih murah.
Inspirasi Dari Sebuah Kisah
Pulang dari Belitung, saya terfikir untuk mencari semula buku Laskar Pelangi dan membacanya dengan lebih mendalam. Kadang-kadang sebuah kisah, apabila kita benar-benar menghayatinya, mampu memberi seribu makna dalam kehidupan.
Kisah ini juga membuatkan saya teringat kepada guru-guru saya dahulu. Mereka bukan sekadar mengajar, tetapi berjaya menyalakan minat.
Berkongsi ilmu sehingga mampu mencetus inspirasi sebenarnya mempunyai seninya yang tersendiri.
Buat sesiapa yang menulis di mana-mana medium sekalipun, teruskan menulis. Kita mungkin tidak tahu sejauh mana manfaat tulisan kita.
Kadang-kadang sebuah cerita kecil mampu mengubah masa depan sebuah tempat — seperti yang berlaku di Belitung Indonesia.
Soalan Lazim Tentang Belitung Indonesia
Di mana terletaknya Belitung?
Belitung ialah sebuah pulau di Indonesia yang terletak di wilayah Kepulauan Bangka Belitung, di antara Pulau Sumatera dan Pulau Kalimantan.
Mengapa Belitung menjadi terkenal?
Belitung mula mendapat perhatian pelancong selepas kejayaan novel dan filem Laskar Pelangi karya Andrea Hirata.
Apa tempat menarik di Belitung?
Antara tempat menarik di Belitung ialah Muzium Kata Andrea Hirata, replika sekolah Laskar Pelangi dan pulau-pulau kecil yang terkenal dengan aktiviti island hopping.
Adakah Belitung sesuai untuk pelancong dari Malaysia?
Ya, Belitung sesuai untuk pelancong Malaysia kerana makanan halal mudah didapati, budaya hampir sama dan penerbangan dari Jakarta tidak terlalu lama.