“Setiap minit di luar adalah peluang untuk anak mengenal dunia, diri sendiri, dan membina rasa ingin tahu yang tidak ternilai.”
Kenapa Aktiviti Luar Sangat Penting untuk Anak?
Sebagai orang dewasa, bagaimana perasan kita apabila dapat beraktiviti di ruang terbuka yang dikelilingi alam semulajadi?
Memanfaatkan ruang outdoor untuk beraktiviti dengan anak akan memberikan kebaikan yang sangat besar pada anak-anak, pendidik dan sudah tentu ibu bapa.
Di zaman yang sangat banyak masanya, anak berada di dalam bangunan, beraktiviti di luar, adalah sangat perlu anak untuk merasai nikmatnya berinteraksi di ruang yang pengudaraannya baik dan lebih dekat dengan alam semulajadi.
Anda kalau seharian duduk dalam bangunan sahaja, bagaimana?
Kebaikan Aktiviti Outdoor untuk Kesihatan Anak
Aktiviti luar bukan sahaja menambah variasi dalam rutin anak-anak, malah membina daya tahan tubuh melalui pergerakan fizikal.
Kajian juga menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari pagi membantu regulasi hormon tidur anak (melatonin), yang sangat penting untuk kualiti tidur mereka. Apabila tidur anak cukup, emosi dan fokus mereka juga bertambah baik.
Outdoor Activity Bantu Fokus dan Tumpuan Anak
Beberapa kajian dalam bidang psikologi perkembangan kanak-kanak juga menunjukkan bahawa anak yang kerap didedahkan kepada persekitaran semula jadi mempunyai tahap tumpuan dan perhatian yang lebih baik. Alam membantu menenangkan sistem saraf, dan ini menjadikan anak lebih bersedia untuk belajar dan berinteraksi secara positif.
Selain itu, aktiviti fizikal yang dilakukan di luar juga membantu pengaliran darah ke otak, yang memberi kesan kepada keupayaan otak untuk menyerap maklumat dan fokus dalam tempoh yang lebih lama. Anak yang bermain aktif di luar juga cenderung lebih bertenaga secara mental dan tidak cepat bosan.
Perkembangan Motor dan Bahasa Anak
Buat kanak-kanak, aktiviti luar memberi kebebasan, ketenangan, keseronokan dan keberanian. Ia membantu perkembangan motor kasar anak dan motor halus juga bergantung pada aktiviti.
Keseronokan beraktiviti meransang anak untuk mahu berkomunikasi. Ia amat membantu perkembangan bahasa.
Persekitaran terbuka yang luas, pelbagai dan tidak terhad kepada satu bentuk rangsangan membantu anak untuk lebih banyak bertanya, bercerita dan berimaginasi. Ketika mereka memegang daun, melihat serangga, atau mengejar bayang-bayang, banyak sekali perkataan baharu yang mereka mahu sebut dan tanya. Aktiviti luar memberi ruang sebenar untuk percakapan yang hidup dan bermakna berlaku.
Merangsang Intelek dan Rasa Ingin Tahu Anak
Perbualan atau apa jua sesi yang melibatkan interaksi dua hala yang bermakna, semakin bermakna, berpotensi merangsang perkembangan intelektual anak.
Minat datangnya dari seronok. Seronok apabila sesuatu yang ditemui, diberi respon oleh orang sekeliling. Ini semua menambahkan rasa ingin tahu lagi dan lagi. Perasaan ingin tahu ini, adalah sangat mahal, ia akan bertambah apabila ini semua diraikan.
Aktiviti Luar Membentuk Keyakinan Diri
Di samping itu, suasana luar yang tidak dikawal sepenuhnya seperti ruang tertutup memberi peluang kepada anak untuk membuat keputusan sendiri, menyelesaikan masalah, dan membina keyakinan diri.
Contohnya, memilih laluan untuk berlari, memanjat pokok kecil atau mencuba permainan baharu yang belum pernah dicuba sebelum ini.
Mulakan Sekarang, Walaupun Sekejap
Semangat ingin tahu, seronok, motivasi ingin mencuba ini adalah hasil dari sebuah proses. Proses yang perlu ditelusuri dengan baik dan memakan masa. Ia perlu dimulakan dan diraikan walaupun kejayaannya kecil.
Petang nanti, marilah kita semua ibu ayah cuba buat di rumah, setiap hari, walaupun 5 – 10 minit sahaja.