“Mama, Nak Telefon!” Bagaimana Uruskan Anak dan Gajet Dengan Bijak

Tips Mesra Ibu Bapa untuk Kawal Penggunaan Gajet Anak

Petang itu, Nana melihat anaknya, Haikal, sedang leka menatap skrin telefon di ruang tamu. “Haikal, masa dah habis! Letak telefon dulu,” kata Nana dengan lembut, tetapi si kecil terus menggeleng. “Sekejap lagilah, mama!” katanya dengan nada rengekan. Nana menarik nafas panjang, matanya melihat Haikal dengan rasa kasihan. Dia tahu ketagihan gajet ini bukan salah anaknya semata, tetapi keadaan dunia digital yang memerangkap ramai kanak-kanak. Dalam hati, Nana bertekad, dia mesti membantu Haikal keluar dari masalah ini, dengan kasih sayang, bukan kemarahan.

Keesokan harinya, Nana membawa satu rancangan baru. Selepas sarapan, dia menghampiri Haikal dengan senyuman. “Haikal, boleh tolong mama kejap?” tanyanya sambil membawa penyiram kecil ke hadapan. “Jom siram pokok bunga mama, nanti kita kira berapa banyak bunga merah yang dah kembang,” tambahnya dengan nada ceria. Haikal memandang ibunya dengan sedikit kehairanan tetapi kemudian tersenyum. “Oh, boleh! Nak kira bunga merah dulu!” katanya sambil melompat kecil. Mereka pun keluar ke halaman rumah. Haikal mula berseronok bermain air sambil membantu Nana menyiram bunga. Saat itu, Nana merasa hatinya lapang. Dia lihat senyum dan tawa Haikal yang sudah lama tidak dia nikmati kerana terlalu asyik dengan gajet.

Dua hari kemudian, selepas makan tengah hari, Nana membawa sesuatu yang istimewa. “Haikal, mama ada kotak ajaib!” katanya sambil menunjukkan kotak kecil dari dapur. Haikal memandang kotak itu dengan penuh rasa ingin tahu. “Kotak apa, mama?” tanyanya. “Ini kotak idea! Bila adik bosan atau nak main telefon, kita buka kotak ni. Tengok apa idea menyeronokkan yang kita boleh buat,” jelas Nana. Dengan penuh teruja, Haikal membuka kotak itu dan mengeluarkan satu nota kecil. “Melukis? Mama, kita lukis apa?” tanyanya sambil tersenyum besar. “Apa kata kita lukis kapal angkasa!” balas Nana. Mereka mula melukis di meja makan, dan Haikal mencorak kapal angkasa besar sambil berceloteh tentang planet kegemarannya. Nana tersenyum puas, menyedari bahawa sedikit kreativiti mampu membuatkan anaknya lupa seketika akan skrin telefon.

Pada malam minggu berikutnya, Nana mengumumkan sesuatu yang mengujakan. “Malam ini, semua telefon tidur dalam balang,” katanya sambil meletakkan balang kecil di tengah meja makan. Haikal memandang ibunya dengan wajah pelik. “Tidur? Telefon nak tidur juga ke, mama?” Nana tersenyum sambil mengangguk. “Kita buat malam cerita keluarga. Lepas makan malam, kita cerita pasal hari kita. Telefon rehat dulu.” Haikal tersengih. “Okay, mama. Saya cerita dulu pasal main kat taman tadi!” Makan malam itu penuh dengan gelak ketawa dan cerita Haikal yang menghidupkan suasana. Nana berasa lega waktunya bersama Haikal kini lebih bermakna dan dipenuhi kasih sayang.

Hari-hari berlalu, dan Nana melihat perubahan kecil tetapi bermakna pada Haikal. Dia semakin jarang mencari telefon dan lebih banyak meminta Nana untuk melukis atau bermain bersama. Nana berasa hatinya lapang. Dia tahu ini adalah kemenangan kecil, tetapi ia memberikan harapan besar. Dalam senyuman Haikal, dia melihat masa depan yang lebih cerah.

Kesan Penggunaan Gajet Tanpa Kawalan

Namun begitu, Nana sentiasa ingat bahawa ramai kanak-kanak lain mungkin tidak bernasib baik seperti Haikal. Kajian oleh BMC Psychiatry (2019) mendapati bahawa kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada telefon pintar berisiko mengalami kemurungan, kebimbangan, dan gangguan tidur. Malah, menurut kajian oleh BMC Pediatrics (2022), 53.3% kanak-kanak yang ketagih gajet mengalami ketidakselesaan pada leher dan mata akibat postur yang tidak baik.

Lebih menyedihkan, kajian oleh Frontiers in Psychiatry (2021) menunjukkan bahawa penggunaan telefon sebelum tidur boleh menjejaskan kualiti tidur anak-anak. Kajian lain oleh European Child & Adolescent Psychiatry (2022) pula mengaitkan penggunaan gajet tanpa kawalan dengan tekanan emosi dan kurangnya interaksi sosial.

Kesimpulan

Kisah Nana dan Haikal menunjukkan bahawa ketagihan gajet bukanlah pengakhiran, tetapi sebuah cabaran yang boleh diatasi dengan kesabaran dan kasih sayang. Teknologi, jika digunakan secara seimbang, boleh menjadi alat yang berfaedah, tetapi masa bersama keluarga dan aktiviti kreatif tetap lebih bernilai. Dalam setiap langkah kecil yang diambil, Nana belajar bahawa perubahan memerlukan usaha, tetapi senyuman dan tawa Haikal menjadikan setiap usaha itu berbaloi.

Buat ibu bapa di luar sana, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Dengan kreativiti dan kesungguhan, anda juga boleh membantu anak-anak anda. Masa depan mereka berada di tangan anda. Seperti kata pepatah, “melentur buluh biar dari rebungnya.”

P/s : Nana dan Haikal adalah watak yang dicipta untuk membantu mesej ini sampai kepada pembaca.

Rujukan Kajian:

  1. BMC Psychiatry (2019) – https://www.medicalnewstoday.com/articles/signs-of-smartphone-addiction-in-children
  2. BMC Pediatrics (2022) – https://socialguardian.org/blogs/smartphone-addiction-in-children/
  3. Frontiers in Psychiatry (2021) – https://www.frontiersin.org/journals/psychiatry/articles/10.3389/fpsyt.2021.669042/full
  4. European Child & Adolescent Psychiatry (2022) – https://www.onlymyhealth.com/smartphone-addiction-in-children-signs-impact-and-tips-for-management-1709711994

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tips Efektif Bercerita untuk Anak-Anak, Belajar Storytelling lagi dari Jakarta

22 April 2025

Tips Membantu Anak Bercakap: Inspirasi Dari Perbualan Nana dan Dania

22 April 2025