Pengalaman Projek Electric Mixer Bersama Anak

School Holiday Project: Pengalaman Projek Electric Mixer Bersama Anak

Beberapa tahun lalu, kanak-kanak riang ini membuat electronic mixer.

Idea asal ini datang daripada abang saya, Harith Arifin. Saya sudah tidak ingat dia berada di darjah berapa ketika itu, tetapi kami semua sangat teruja untuk mencubanya semula. Tidak sangka, ingatan dan kesan daripada projek itu masih kuat dalam diri saya.

Saya sebenarnya tidak begitu cenderung kepada bidang elektronik. Saya lebih gemar art & craft serta eksperimen santai.

Namun, beberapa bulan sebelum ini, suami saya membantu anak-anak menyiapkan beberapa projek berkaitan reka bentuk dan elektronik ringkas.

Daripada situ, saya mula nampak sesuatu.

Mereka sangat teruja. Sanggup berjaga malam. Berbincang panjang sesama sendiri. Ada juga perbezaan pendapat, tetapi mereka teruskan juga.

Pengalaman ini mengingatkan saya bagaimana anak lebih fokus apabila mereka benar-benar minat sebenarnya berlaku secara semula jadi tanpa perlu dipaksa.

Saya juga belajar bagaimana seorang ayah menerangkan proses yang kompleks kepada anak-anak menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Hampir seminggu mereka berusaha menyiapkan projek tersebut. Sepanjang tempoh itu juga, saya sendiri memperoleh banyak ilmu baharu.

Saya tidak mengganggu mereka. Saya hanya memerhati.

Anak akan berusaha dan fokus apabila mereka benar-benar minat terhadap sesuatu.

Apabila tiba cuti sekolah, saya mencadangkan semula idea projek ini.

Kami berbincang, melakar pelan, dan memikirkan bahan yang sesuai.

Alhamdulillah, projek ini berjaya disiapkan.

Namun, yang paling memberi makna kepada saya bukanlah hasil akhirnya, tetapi keseluruhan proses itu.

Projek ini tidak berjalan lancar sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, saya perlu menguruskan 2 orang lagi anak. Saya cuba bertenang dan bertindak secara rasional, sambil berharap projek ini dapat diselesaikan dengan baik.

Ada yang sangat teruja pada awalnya, ada yang berhenti di pertengahan, dan akhirnya abang yang meneruskan sehingga siap.

Antara perbincangan kami:

“Macam mana dia boleh jadi perlahan?”

“Kenapa tadi laju? Kita cuba tukar?”

“Alamak, terpercik. Habis kotor sekeliling.”

“Perlu buat pintu atau tidak?”

“Mixer ini kita nak guna apa? Sudu atau kipas daripada tin air sebelum ini?”

“Hmmm… dia pusing besar sangat.”

“Oh, ini senget.”

Perbincangan demi perbincangan berlaku dan saling berkait.

Kami juga tidak menyiapkan projek ini dalam satu masa yang singkat.

Kami berhenti beberapa kali untuk menguruskan keperluan anak-anak lain, kemudian menyambung semula apabila keadaan lebih tenang.

Akhirnya, projek ini siap. Dan kami meraikan apa yang mereka hasilkan.

Selang beberapa ketika kemudian, Ammar menghasilkan electronic fan pula.

Kali ini, saya hanya membimbing sedikit demi sedikit. Ammar menggunakan pengalaman lalu dan turut merujuk kepada YouTube sebagai panduan.

Alhamdulillah, semuanya daripada Allah.

Dan dalam proses ini, saya sendiri belajar banyak perkara baharu.


Refleksi: Pembelajaran Anak Dalam Kehidupan Sebenar

Pengalaman ini membuatkan saya berfikir tentang realiti sebenar sebagai ibu bapa, terutamanya apabila mempunyai beberapa orang anak kecil.

Kita tidak sentiasa mampu untuk memberi perhatian kepada semua anak dalam satu masa. Dan itu adalah sesuatu yang normal.

Tidak mengapa jika kita tidak sempat menyiapkan sesuatu projek dalam masa yang kita rancang. Jika tidak siap hari ini, kita boleh sambung pada hari yang lain.

Kita sambung apabila kita sudah bersedia—secara mental dan fizikal. Begitu juga dengan anak-anak.

Yang penting adalah ia moment yang bermakna buat anak aktiviti bersama anak memberi makna melalui proses

Apabila kita menyambung semula, tidak semua anak perlu terlibat semula. Ada yang mungkin sudah tidak berminat, dan itu juga tidak mengapa.

Setiap anak mempunyai minat dan tahap kemahiran yang berbeza mengikut perkembangan mereka. Kita perlu mengambil kira perkara ini.

Jika anak tidak berminat dengan projek utama, kita boleh libatkan mereka dalam tugasan lain yang lebih sesuai dengan minat mereka.

Contohnya, membantu mewarna, menggunting, atau memasang bahagian tertentu yang lebih mudah. Mudah bagi kita, tetapi boleh jadi sebesar gunung maknanya pada mereka. Saya ada kupas lanjut tentang memahami keperluan anak dalam artikel memahami keperluan anak mengikut tahap mereka

Saya juga belajar bahawa tidak semua perkara perlu diselesaikan bersama-sama hingga ke akhir.

Jika hanya seorang yang meneruskan hingga siap, itu juga sudah mencukupi.

Pada masa yang lain, kita boleh lakukan aktiviti lain yang lebih sesuai untuk anak-anak yang berbeza pula.

Dalam proses ini juga, saya belajar untuk bersedia dengan perkara-perkara kecil.

Contohnya, menyediakan makanan lebih awal, memastikan keselamatan alat, dan menguruskan keadaan jika perlu berhenti secara tiba-tiba.

Ada masanya, apabila semua sudah penat, saya memilih untuk berehat sahaja—menonton bersama atau menenangkan suasana.

Dan ada juga ketika, projek yang dirancang tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Namun saya sedar, tidak semua perkara perlu menjadi sempurna.

Ada masanya kita juga sedang belajar.

Ada perkara yang terasa sukar kerana kita sendiri belum mempunyai kemahiran yang mencukupi.

Dan itu juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Pada akhir penulisan ini, ia membuat saya terfikir kembali kepada pengalaman abang saya dahulu.

Waktu itu saya tidak terlibat secara langsung, tetapi kami memerhati dan akhirnya menggunakan hasil tersebut.

Walaupun hanya sebagai pemerhati, pengalaman itu tetap memberi kesan yang sangat besar.

Rupa-rupanya, pembelajaran tidak hanya berlaku apabila anak terlibat sepenuhnya.

Melihat, mencuba, dan merasai juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Saya bersyukur kerana abang saya dahulu diberi ruang untuk mencuba dan meneroka pelbagai perkara.

Kadang-kadang, anak tidak perlu terlibat dalam setiap langkah untuk belajar—melihat dan merasai juga sudah cukup untuk menyalakan minat dalam diri mereka.

Jika anda sedang mencari idea, boleh juga baca projek bersama anak musim cuti sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kesejahteraan Emosi Ibu: Kenapa Hobi Penting untuk Kebahagiaan dan Kehidupan Seharian

16 March 2025

Meneroka Alternatif Gantikan Minat Anak Kecil Pada Gajet

16 March 2025