Tips Aktiviti Buku Santai untuk Anak 2 Tahun: Cara Berkesan Memupuk Minat Membaca

Membaca bersama anak kecil bukanlah tentang berapa lama kita duduk bersama buku, tetapi bagaimana kita menjadikan sesi itu seronok dan bermakna. Tak silap saya, gambar-gambar ini adalah gambar Ali semasa umurnya sekitar 2 tahun lebih. Cuba lihat raut wajah Ali dalam gambar, apa agaknya yang sedang dia fikirkan?

Setiap kali kami explore buku, ada sahaja perkara menarik yang Ali akan perasan. Contohnya, “Ini Kakak Saliha, dia nak tolong Mama dia la.” Ali biasanya akan menyambut dengan ceria, “Eh, ini Kakak Raudhah la Mama! Ada carrot lah, jom kita masak!” Dialog-dialog kecil ini membuatkan sesi membaca jadi hidup, macam kami berada dalam cerita.

Ada satu buku lagi, Ali nampak gambar budak sedang melukis. Saya tunjuk dan cakap, “Eh, ini Ali lah. Ali tengah lukis dengan Kakak Saliha.” Mata Ali terus bercahaya, “Jom Mama, kita lukis-lukis!” Sesi membaca selalunya berakhir dengan aktiviti betul-betul—kalau tidak melukis, pasti bermain bola atau berpura-pura jadi “lion dance.” Kadang-kadang saya pun tak tahu siapa yang lebih seronok, Ali atau saya.

Buku: Lebih dari Sekadar Cerita

Kenapa aktiviti ini penting? Sebab ia bukan sekadar membaca, tapi mencipta pengalaman manis bersama buku. Anak-anak mula melihat buku sebagai sesuatu yang menarik, sesuatu yang ada cerita seronok dan penuh warna. Misalnya, bila Ali jumpa gambar “lion dance,” kami bukan sekadar tengok—kami buat bunyi dan berlakon sekali. Tak sampai 10 minit pun, tapi ia tinggalkan impak besar.

Pilih Buku yang Anak Anda Suka

Buku bergambar dengan ilustrasi ceria, cerita pendek, dan tulisan ringkas memang sesuai untuk anak kecil. Kalau boleh, cari buku yang berkaitan dengan dunia mereka, seperti makanan kegemaran atau aktiviti harian. Buku macam ini bukan sahaja menarik perhatian mereka tetapi juga membantu anak memahami dunia sebenar melalui cerita.

Cipta Rutin Membaca yang Menyeronokkan

Tak perlu formal, santai sahaja. Jadikan membaca rutin harian, mungkin sebelum tidur. Sedikit tetapi konsisten lebih penting. Ali, misalnya, selalu rasa teruja setiap kali saya ajak baca buku sebelum tidur. Puji anak bila mereka tunjuk minat. Pujian kecil macam, “Wah, pandainya Ali cari bola!” boleh jadi motivasi besar untuk mereka terus suka pada buku.

Cinta Buku Bermula dari Rumah

Pengalaman positif dengan buku akan membentuk minat membaca yang kekal. Bila anak rasa buku itu seronok dan berharga, mereka akan terus berminat meneroka lebih banyak cerita. Ingat, pengalaman awal anak adalah asas kepada bagaimana mereka melihat dunia—dan buku adalah tingkap kepada dunia itu.

Libatkan Anak dalam Pemilihan Buku

Salah satu cara untuk menambah keseronokan membaca ialah dengan melibatkan anak dalam pemilihan buku. Bawa mereka ke kedai buku atau perpustakaan, dan biarkan mereka memilih buku yang menarik perhatian mereka. Pada usia 2 tahun, anak-anak cenderung tertarik dengan warna terang, ilustrasi menarik, atau watak-watak yang mereka kenali. Dengan membenarkan mereka memilih sendiri, anak akan merasa lebih teruja untuk membaca buku yang mereka pilih.

Sebagai contoh situasi, Abu memegang buku tentang binatang liar dengan muka depan bergambar singa yang besar semasa di kedai buku. “Abu nak baca buku ni, Mama. Ni singa yang kuat, rawrrr!” katanya dengan penuh semangat. Sepanjang minggu itu, ibu akan membaca buku tersebut berulang kali. Setiap kali membaca, Abu akan meniru bunyi haiwan yang ada di dalamnya, dan sesi membaca kami sering bertukar menjadi sesi meniru bunyi atau bermain peranan. Aktiviti ini bukan sahaja membuatkan Abu gembira, tetapi juga menjadikannya lebih bersemangat untuk membaca buku yang lain.

Akhir kata, membaca pada peringkat ini, adalah mencipta keseronokan. Anak-anak terdedah dengan mengeluarkan banyak kosa kata dan intonasi menarik. Yang penting penting adalah sedikit tetapi kerap. Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bestnya buat kek Marble ni!

14 March 2025

Kesejahteraan Emosi Ibu: Kenapa Hobi Penting untuk Kebahagiaan dan Kehidupan Seharian

14 March 2025